AZMIN menunjukkan barangan yang dijual Active Universal Medical Care.
AZMIN menunjukkan barangan yang dijual Active Universal Medical Care.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: Active Universal Medical Care, pembekal barangan perubatan tempatan terus mengorak langkah untuk memperluas perkhidmatannya di hospital seluruh Malaysia.

Pengarahnya, Azmin Ramat Ali berkata, biarpun banyak berdepan cabaran dalam perniagaan namun permintaan diterima daripada pelanggan yang semakin meningkat membuatkan syarikatnya terus bertahan.

"Produk perubatan terlalu banyak dan saya membekalkan semua jenis produk yang terdapat di pasaran dan juga yang diperlukan dalam kalangan pelanggan saya.

"Syukur setakat ini, semua produk yang kami bekalkan mendapat sambutan baik walaupun pada 2019, saya sudah berputus asa dan nekad menutup perniagaan ini akibat kekangan modal mengembangkan perniagaan.

"Badan bukan kerajaan (NGO) banyak memberikan sokongan kepada saya dan menyambut baik perniagaan ini dan syukur sekarang saya sudah membekalkan pelbagai produk keperluan perubatan di 50 klinik di kawasan Bangi, Semenyih, Kajang, Shah Alam, Selayang dan Seremban, serta Hospital Orang Asli dan Hospital Kuala Lumpur.

"Buat masa ini, saya bekalkan keperluan barang pakai buang perubatan, peralatan, mesin, pelitup muka dan pelbagai lagi barangan lain," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, syarikat turut merancang untuk membuka satu lagi gudang di sini, menjelang akhir tahun, bagi menampung keperluan yang meningkat.

Beliau berkata, pihaknya dalam perancangan untuk membawa masuk barang dari China, namun memerlukan modal besar kira-kira RM300,000.

"Saya akan cuba untuk memohon bantuan pembiayaan dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

"Paling penting sekarang saya akan 'besarkan' pasukan jualan sendiri, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 7:16 AM