KETUA Pegawai Operasi, Merpati Foods Trading, Izzat Norizan menunjukkan gerai Royale Burger di Menara KBS, Putrajaya.
KETUA Pegawai Operasi, Merpati Foods Trading, Izzat Norizan menunjukkan gerai Royale Burger di Menara KBS, Putrajaya.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Putrajaya: Merpati Foods Trading Sdn Bhd komited untuk melahirkan kira-kira 3,000 usahawan Royale Burger di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang akhir 2022.

  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Latif Adol berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dicapai menerusi program Pembangunan Usahawan Royale Burger yang diperkenalkan sejak lima bulan lalu.

  Katanya, objektif utama program itu untuk memberi peluang kepada masyarakat yang hilang punca pendapatan, golongan belia dan sesiapa yang berminat menjadi usahawan burger tanpa modal.

  "Merpati Foods berpengalaman dalam bidang makanan dan minuman (F&B) sejak 20 tahun lalu dan kami menyediakan program Pembangunan Usahawan Royale Burger tanpa modal ini untuk membantu melahirkan usahawan burger yang berjaya.

  "Sesiapa yang berminat dan mempunyai komitmen tinggi untuk menjadi usahawan, kami akan beri bimbingan dan latihan kepada mereka.

  "Melalui program ini, syarikat akan menyediakan gerai, peralatan dan semua kelengkapan lain termasuk bahan mentah.

  "Usahawan akan menjadi rakan niaga Royale Burger dengan pembahagian keuntungan 70 peratus untuk usahawan dan 30 peratus kepada Merpati Foods," katanya kepada Bisnes Metro.

  Menurutnya, bagi mereka yang berminat menjadi usahawan Royale Burger, pihaknya akan mengadakan sesi temu duga dan seterusnya sesi latihan oleh syarikat akan diberikan kepada usahawan yang layak.

  Abdul Latif berkata, setakat ini, Royale Burger sudah berada di sekitar Lembah Klang seperti di Rawang, Selayang, Putrajaya, Lembah Keramat, Desa Rejang, Setapak, TTDI Jaya dan juga di  Negeri Sembilan serta Melaka.

  Beliau berkata, terdapat dua konsep diperkenalkan di bawah program ini iaitu berniaga secara terbuka di rumah untuk suri rumah dan ibu tunggal manakala satu lagi adalah konsep gerai di lokasi hotspot pilihan usahawan atau syarikat.

  "Pati daging kami keluarkan sendiri dan berbentuk petak dengan berat 90 gram. Setakat ini, ada lebih 15 pilihan menu Royale Burger ditawarkan pada harga bermula antara RM4 hingga RM9.

  "Bagi mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai program Pembangunan Usahawan Royale Burger boleh melayari merpatifood.com atau Facebook dan Instagram (merpatifoods)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:27 AM