ROSILA pemenang tempat pertama.
ROSILA pemenang tempat pertama.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Maxis komited memperkasa pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam membantu mendepani arus digitalisasi terutama usahawan wanita di luar bandar menerusi program eKelas Usahawannya.

 Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, eKelas Usahawan program pemasaran digital berstruktur yang dianjurkan secara percuma dan khusus bertumpu kepada usahawan wanita terutamanya dari kawasan luar bandar.

 Katanya, selain menyediakan alatan dan pengetahuan pemasaran digital supaya dapat membuka peluang perniagaan digital kepada usahawan wanita, eKelas Usahawan bertujuan memberi manfaat kepada mereka supaya dapat menerapkan kemahiran dan pengetahuan digital ke perniagaan masing-masing.

 "Maxis sudah menggunakan dua kaedah dalam melaksanakan eKelas Usahawan iaitu bekerjasama dengan yayasan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan mengenal pasti usahawan wanita berdasarkan rangkaian mereka, kemudian Maxis mengadakan sesi webinar.

"Maxis juga menjemput mana-mana usahawan atau bakal usahawan untuk menyertai sesi webinar awam berjadual dengan mendaftar melalui laman web Maxis.

"Sehingga kini, hampir 500 usahawan, terutama daripada komuniti B40 sudah menghadiri program eKelas Usahawan.

"Menerusi kerjasama Maxis dengan NGO Pacos Trust Sabah serta Yayasan Hijrah Selangor, kami sudah mengenal pasti seramai 186 usahawan wanita untuk menghadiri siri bengkel selama enam bulan dan berpeluang untuk menerapkan pembelajaran pada perniagaan mereka serta ganjaran melalui pertandingan," katanya kepada Bisnes Metro.

  Menurutnya, sesi khas itu berakhir pada 14 Oktober dengan tiga usahawan diisytiharkan sebagai pemenang selepas sesi pertandingan pitching membabitkan 10 finalis.

  Tempat pertama dimenangi Rosila Mohd Rosidi yang juga Pengasas DokiDoki Okonomi dari Puchong, Selangor dan tempat kedua Juddy Lasius iaitu Pengasas Xenia Herbal dari Penampang, Sabah.

Sementara itu, tempat ketiga pula Norita Yapi yang juga Pengasas NY Success Capital, dari Kota Kinabalu, Sabah.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, RM7,500 dan RM5,000.

eKelas Usahawan kini terbuka untuk umum melalui webinar di mana semua usahawan wanita dari seluruh negara boleh menyertai program terbabit.

  Modulnya direka khas oleh rakan kerjasama kandungan dan latihan yang merangkumi enam bidang utama iaitu penggunaan Alat Fotografi dan Penyuntingan Digital, Penciptaan profil My Business di Google, Pendaftaran WhatsApp Business Account, Penciptaan Halaman Facebook untuk perniagaan mereka, Perniagaan Berdaftar Rasmi dan Keupayaan Sistem Pembayaran Digital.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari https://bit.ly/eKelasUsahawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 7:03 AM