MOHAMAD Fahmy menunjukkan produk keluarannya.
MOHAMAD Fahmy menunjukkan produk keluarannya.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

MR Pepper Foods Sdn Bhd tidak menyangka perancangan syarikat menguatkan pemasaran dalam taliannya (online) membuahkan hasil apabila meningkatkan jumlah jualan daripada RM600,000 pada 2019 kepada RM3 juta tahun lalu.

  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Fahmy Jamil berkata, berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, semua pihak panik kerana sektor ekonomi ditutup.

  Katanya, melalui perancangan teliti, akhirnya syarikat makanan sejuk beku itu menggandakan jualan dan menyasarkan hasil RM5 juta bagi 2021.

  "Pada 2017, kami menghasilkan produk kambing perap dan membina jenama Mr Pepper. 

"Permintaan tinggi dan pengurusan perniagaan baik menjadikan produk Kambing Perap Mr Pepper mendapat tempat dan dipasarkan ke seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

  "Dengan lebih 2,000 usahawan berdaftar  menjadi ejen untuk membina perniagaan dan meningkatkan tahap kewangan bersama Mr Pepper, Mr Pepper semakin maju dan terus berdaya saing sehingga ke hari ini," katanya.

  Menurutnya, produk Mr Pepper mempunyai pensijilan halal, mudah dimasak dalam masa hanya 10 minit kerana menggunakan daging lembut dan menggunakan resipi sos tersendiri.

   Mohamad Fahmy berkata, hasil komen positif dan permintaan pelanggan, syarikat kini dalam usaha meluaskan pasaran dengan menambahkan jumlah pengedar di seluruh negara.

Dalam masa sama, ia meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran harian bagi menampung permintaan.

  Beliau berkata, syarikat itu berkembang dengan memiliki kilang pemprosesan, mempunyai pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pensijilan MeSTI dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

  "Selaras hasrat kerajaan menghasilkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam memperluas produk makanan halal, kami berharap dapat menjadi syarikat berdaya saing dan maju, seterusnya meluaskan pasaran menjadi pilihan utama di rantau Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 7:01 AM