MUHAMMAD Aidil turut aktif menyertai pertandingan dan perlumbaan merpati.
MUHAMMAD Aidil turut aktif menyertai pertandingan dan perlumbaan merpati.
Nurul Husna Mahmud


FAKTA unik mengenai merpati atau nama saintifiknya Columba domestica ialah kedua-dua jantina burung ini mampu menghasilkan 'susu' dirembeskan dengan meluruhkan sel berisi cecair dari selaput temboloknya untuk memberi makan kepada anaknya.

Ciri-ciri fizikal unggas terbabit iaitu memiliki sayap yang tegap dan leher panjang membuatkan ia sesuai dilatih untuk pelbagai tujuan.

Buktinya di London, merpati digunakan sebagai alat untuk memantau kualiti udara kota itu menerusi projek 'Pigeon Air Patrol.'

Merpati terpilih dibiarkan terbang di sekeliling London selama tiga hari untuk mengumpulkan data selain menjadi kempen kesedaran mengenai pencemaran udara kepada umum.

Bagi pemilik merpati, Muhammad Aidil Adha Che Johari, dia sendiri memelihara burung itu untuk pelbagai tujuan. Selain hobi, burung itu juga kerap dilatih bagi tujuan pertandingan dan perlumbaan.

Menurut Muhammad Aidil yang aktif berkecimpung dalam perlumbaan dan pertandingan sejak 10 tahun lalu, dia sebenarnya tertarik untuk memelihara merpati putih.

"Dalam kumpulan merpati sendiri ada lebih 100 spesies seluruh dunia dan setiap negara memiliki merpatinya tersendiri.

"Saya lebih tertarik memelihara merpati putih kampung, begitu juga jika mengimport merpati luar pilihan sendiri ialah merpati putih.

"Merpati putih ini sedap mata memandang dan warnanya yang putih suci tampak begitu menonjol terutama dalam pertandingan merpati hiasan," katanya.

Tambah Timbalan Presiden Persatuan Merpati Selangor itu, burung itu juga antara spesies unggas mudah dipelihara dan tahan lasak berdasarkan sejarah burung ini yang pernah dijadikan sebagai 'pengutus' utusan satu ketika dulu dan kini menjadi sukan yang unik untuk disertai.

"Ramai pelihara merpati kerana ia antara spesies mudah dijaga sebagai hobi.

"Jika ada modal lebih sedikit, boleh mencuba untuk penyertaan perlumbaan dan pertandingan menerusi koleksi baka yang baik.

"Pengalaman saya sendiri yang lebih 10 tahun dalam hobi memelihara merpati, melihat burung ini bukan hanya cantik berdasarkan kepelbagaian spesies merpati yang ada, ia juga memberi kebaikan jika diternak untuk dagingnya.

"Kalau di luar negara, daging merpati diberi kepada wanita selepas bersalin untuk mempercepatkan proses pemulihan dalam tempoh berpantang.

"Merpati tergolong dalam haiwan bertulang belakang dan berdarah panas. Suhu tubuhnya sekitar 41 darjah Celsius dikatakan antara penyumbang kepada khasiat dagingnya," katanya.

Mengakui obses terhadap spesies merpati putih itu juga menyebabkan dia kerap dikunjungi

pelbagai golongan untuk memiliki unggas terbabit.

"Sepanjang saya pelihara merpati putih ini juga ramai orang datang membeli untuk pelbagai tujuan.

"Termasuk mereka yang memeliharanya bagi tujuan perubatan dan ritual kerana pembeli terdiri pelbagai bangsa serta agama.

"Antara pengalaman yang saya tidak boleh lupa sebagai pemilik merpati ialah saya pernah dikunjungi individu yang membeli bagi tujuan perubatan tradisional.

"Si polan itu memaklumkan dia perlukan merpati putih dan setiap urat serta bulunya mesti putih yang sempurna.

"Pengalaman lain, saya pernah juga dikunjungi pelanggan Nigeria yang mahu membuat satu upacara melepaskan burung.

"Berdasarkan kepercayaan masyarakat mereka jika mahu kekalkan hubungan jarak jauh dengan si isteri, perlu lepaskan burung untuk keharmonian selain isteri juga akan lebih merelakan pemergian suami yang berhijrah ke luar," katanya.

Kata Muhammad Aidil, insiden itu dialami beberapa kali sepanjang tempoh dia memelihara merpati putih.

"Memelihara merpati putih cabarannya adalah sudut estetika serta kebersihan bulunya. Jika diet dan penjagaannya tidak baik, warna bulu berubah kekuningan.

"Dalam situasi saya jika ada pertandingan bakal berlangsung, tempoh sebulan saya

sudah lakukan persiapan.

"Bermula saringan yang mana memiliki bulu dan potensi untuk ditonjolkan, saya asingkan untuk 'groom' bagi lebih gebu dan bulunya cantik.

"Makanan juga saya pastikan pilihan lebih premium diberikan termasuk suplemen supaya burung sentiasa dalam keadaan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 7:00 AM