Shabudin (tengah) merasmikan tapak projek Kompleks Pusat Inkubator Taman Industri Asas Tani  Fasa 1D, semalam.
Shabudin (tengah) merasmikan tapak projek Kompleks Pusat Inkubator Taman Industri Asas Tani Fasa 1D, semalam.

Tasek Gelugor: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukkan RM3.7 juta bagi membina kilang untuk disewa kepada usahawan Bumiputera dinamakan PERDA Food Park di Kubang Menerong, dekat sini.

Bangunan berkenaan mempunyai 14 unit kilang sebagai tambahan 13 unit sedia ada yang disewa usahawan berdaya maju.

Pengerusi PERDA Datuk Shabudin Yahaya berkata, kilang berkenaan bakal disewa kepada usahawan berminat pada kadar munasabah iaitu sekitar RM1,500 sebulan berbanding antara RM2,000 hingga RM2,500 di Bertam, Kepala Batas.

Beliau berkata, hanya usahawan yang berdaya maju dan benar-benar berminat diberi peluang menyewa kilang bakal dibina itu dengan tumpuan utama kepada pembangunan agro teknologi.

“PERDA Food Park adalah susulan rancangan pembangunan hab halal di Kubang Menerong yang kini diberi nama PERDA Valley sejak 2004.

“Kita sudah mendapat pengiktirafan halal dari Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) bagi membina kilang mengeluarkan produk makanan,” katanya selepas pelancaran PERDA Food Park Fasa 1D di Taman Industri Asas Tani (ABIP) dekat Kubang Menerong, di sini, semalam.

Pembinaan itu termasuk dalam rancangan pembangunan PERDA Valley membabitkan keluasan lebih 15 hektar serta berhampiran projek perumahan baru serta Mid Town PERDA yang juga lokasi pasar borong terbesar di utara.

Shabudin berkata, kawasan kilang itu turut dilengkapi kemudahan telekomunikasi serta suasana kondusif, sekali gus membuka peluang pasaran kepada produk dihasilkan usahawan.

“Selain membuka peluang kepada usahawan menyewa kilang, kita turut menjual tapak bagi tujuan pembinaan kilang sendiri terutama usahawan yang memerlukan lebih banyak ruang menghasilkan produk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 5:02 AM