SYIFA ( tengah) bersama staf di BUH.
SYIFA ( tengah) bersama staf di BUH.
HM Digital

Management & Science University (MSU) komited dalam usaha melahirkan graduan yang kompeten dan holistik.

Antara pendekatan yang dijalankan termasuk menggalakkan siswanya terbabit dalam program berbentuk pendedahan global seperti Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).

Baru-baru ini penuntut program Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery (MBBS) MSU, Syifa Zulkhairi, 23, mengikuti program elektif klinikal di Burapha University Hospital (BUH), Thailand.

Di bawah seliaan Faculty of Medicine, Burapha University (BUU), beliau ditempatkan di Jabatan Community Medicine, Occupational Medicine & Family Medicine, Jabatan Radiology & Nuclear Medicine, Jabatan Surgery, Jabatan Internal Medicine serta Jabatan Psychology.

Walaupun mempunyai pilihan untuk mengikuti program elektif klinikal di hospital awam di Malaysia, Syifa memilih ke Burapha University Hospital kerana yakin pengalaman yang dilalui bakal menjadikannya doktor yang lebih versatil.

Penempatan dalam pelbagai jabatan di BUH juga membolehkan Syifa mendapat pengalaman berbeza sama ada dari segi cara kerja, prosedur operasi standard, budaya kerja dan sebagainya.

Antara pengalaman terbaik yang diperoleh beliau ialah apabila terbabit secara langsung dalam simulasi latihan kecemasan akibat bencana alam apabila BUH menjadi pusat bantuan bagi wilayah ChonBuri.

Menurut beliau, BUH turut mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat sekitar apabila turut menjalankan program kesedaran penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat bersama masyarakat.

Malah BUH mempunyai sekolah lengkap yang dibina di dalam kawasan hospital untuk memastikan perkhidmatan pendidikan boleh diakses oleh semua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 1:25 PM