DR Mohd Shukri beramah mesra dengan siswa MSU yang akan melanjutkan pengajian  ke Bangalore, India pada majlis simbolik ‘White Coat’.
DR Mohd Shukri beramah mesra dengan siswa MSU yang akan melanjutkan pengajian ke Bangalore, India pada majlis simbolik ‘White Coat’.
Oleh Ruhaiza Rusmin


‘White Coat’ ialah majlis simbolik menandakan permulaan secara rasmi bagi setiap pelajar tahun pertama dalam bidang perubatan dan perkhidmatan klinikal.

Ia juga mengingatkan pelajar bahawa menjadi kewajipan penting mereka untuk menjalankan tanggungjawab dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara profesional dan beretika.

Sebagai tanda sokongan, Management & Science University (MSU) mengadakan majlis ‘White Coat’, baru-baru ini bagi menghargai 44 pelajarnya yang akan mengikuti pengajian di International Medical School (IMS), kampus pesisir antarabangsa MSU di Bangalore, India.

Majlis disaksikan Presiden MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Bagi Mohammad Aiman Anas A Rahman, walaupun meminati bidang sains sukan, namun dengan galakan pensyarah, dia memilih bidang perubatan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada pensyarah yang memberi galakan dan berharap mencapai kejayaan disasarkan.

“Majlis ini menaikkan semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh, sekali gus mencapai cita-cita bergelar doktor,” katanya.

Intan Syazreen Khalil pula berharap dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran budaya dan pembelajaran baru.

“Saya sangat teruja untuk belajar di tempat baru yang berbeza budaya persekitaran dan berharap mampu menyesuaikan diri,” katanya

Sebagai universiti pilihan global, penawaran program perubatan atau MBBS di MSU bermatlamat melahirkan lebih ramai pakar perubatan untuk melengkapkan usaha kerajaan meningkatkan pembangunan modal insan dalam bidang berkenaan.

Program Bachelor of Medicine dan Bachelor of Surgery (MBBS) ditawarkan di kampus induk MSU di Shah Alam serta di kampus pesisir antarabangsanya di Bangalore, India.

Ia kampus pesisir perubatan pertama di Malaysia mendapat akreditasi untuk tempoh lima tahun daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 11:08 AM