Chong Wei menjadi rebutan utama dalam lelongan. - Foto fail NSTP
Chong Wei menjadi rebutan utama dalam lelongan. - Foto fail NSTP

New Delhi: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain rebutan utama dalam lelongan bagi Liga Badminton Premier India yang berprestij.

Lelongan itu berkesudahan dengan pasukan Hyderabad Hunters memperoleh khidmat Chong Wei pada harga USD100,000 (RM420,000) untuk menghadapi pusingan awal kejohanan itu di Mumbai, bermula pada 2 Januari dan final pada 17 Januari.

Pemain Nombor 2 dunia dari India, Saina Nehwal, akan bermain untuk Awadh Warriors dari Lucknow setelah pemberi francais membayar USD100,000 (RM420,000) untuk khidmatnya.

Persatuan Badminton India (BAI) menganjurkan liga itu selepas kali pertama diadakan pada 2013.

Ia menarik penyertaan ramai pemain terkemuka dunia.

PBL 2016 melibatkan enam francais, dengan setiap francais menjadi hos bagi satu liga dua hari.

Pasukan yang mengambil bahagian ialah Delhi Acers, Hyderbad Hunters, Mumbai Rockets, Awadhe Warriors, Bengaluru Topguns dan Chennai Smashers.

Selain Chong Wei, dua pasangan beregu Malaysia juga akan menyertai kejohanan dua minggu ini.

Lim Khim Wah dan Hoon Thien How akan bermain untuk Bengaluru Topguns dengan bayaran USD15,000 (RM63,000) seorang.

Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong pula akan bermain untuk Hyderabad Hunters. Koo dibayar USD36,000 (RM151,200) dan Tan USD30,000 (RM126,000). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 3:37 PM