Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen menegaskan hanya yang terbaik akan mewakili Malaysia menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Hyderabad, India bulan depan yang turut menjadi tiket kelayakan ke Piala Thomas/Uber di Kunshan, China pada Mei.

Justeru Frost berkata, badan induk itu akan melakukan sesi pemilihan pemain bermula bulan ini yang dijangka turut membabitkan pemain profesional di luar BAM.

“Sasaran utama adalah layak ke Piala Thomas dan Uber menerusi kejohanan ini. Saya percaya pasukan lelaki mampu melepasi pusingan kelayakan.

“Pasukan wanita pula mungkin berdepan sedikit kesukaran. Apapun, kami mempunyai pemain perseorangan wanita yang bagus ketika ini, begitu juga dalam acara beregu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Bagi menghadapi saingan itu, Frost berkata, sedikit perubahan dilakukan dalam acara beregu.

Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei dijangka mengetuai cabaran skuad negara diikuti Chong Wei Feng (gambar) yang mungkin diletakkan selaku perseorangan kedua.

Selain itu, pemain profesional Zulfadli Zulkiffli serta juara baru Sirkit Akhir Kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin juga antara pemain pilihan untuk diletakkan dalam senarai utama pemain perseorangan.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang bernaung di bawah BAM pula hampir pasti mengisi slot acara beregu.

Namun BAM dijangka akan menyenaraikan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Hoon Thien How-Lim Khim Wah iaitu dua bekas beregu badan induk itu yang kini bergerak secara profesional untuk memperkuatkan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:49 AM