Jakarta: Juara dunia lima kali Lin Dan sedia bertemu Datuk Lee Chong Wei dan mempamerkan aksi terbaiknya andai kedua-dua seteru tradisi itu berentap di separuh akhir Kejohanan Dunia seperti diramalkan.

Sensasi China itu berkata, dia akan memanfaatkan setiap peluang bertemu dengan Chong Wei selepas ini kerana kedua-duanya hampir mencapai ke penghujung karier.

“Faktor usia antara saya dengan Chong Wei hampir sama dan usia semakin meningkat.

“Selepas ini, tidak banyak lagi peluang untuk saya bertemu dengannya. Jadi, setiap peluang itu akan saya manfaatkan sebaik-baiknya dengan bermain pada tahap terbaik,” katanya pada sidang media selepas mudah menewaskan pemain Amerika Syarikat Sattawat Pongnairat 21-8, 21-11 di pusingan pertama, semalam.

Kenyataan Lin Dan itu jelas menunjukkan pemain berusia 32 tahun itu tidak akan memberi ruang mudah atau bersimpati kepada Chong Wei dalam usaha lawannya untuk merangkul kejuaraan dunia yang pertama dan mungkin percubaan terakhir di Jakarta.

Mengenai penampilan semula Chong Wei di kejohanan ini selepas memenuhi hukuman penggantungan lapan bulan dari Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan gagal ujian doping di Kejohanan Dunia tahun lalu, Lin Dan berkata, ia akan menjadikan saingan bagi memburu kejuaraan dunia kali ini lebih menarik.

“Tapi, banyak juga barisan pemain muda yang semakin mempamerkan peningkatan, antaranya dari Jepun serta India.

“Saya hanya memikirkan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi setiap perlawanan,” katanya.

Lin Dan juga tidak terlalu memikirkan untuk memenangi gelaran juara dunia buat kali keenam di Jakarta, sekali gus muncul pemain terbanyak pernah mengungguli kejuaraan paling berprestij itu selepas menyamai rekod legenda Korea Selatan, Park Joo Bong.

“Saya tidak fikir sejauh itu,” katanya.

Lin Dan sudah meraih gelaran juara dunia sebanyak lima kali iaitu pada 2006 di Madrid, 2007 (Kuala Lumpur), 2009 (Hyderabad), 2011 (London) dan terakhir 2013 di Guangzhou.

Kedua-dua legenda itu sudah bertemu sebanyak 33 kali sepanjang karier dengan Lin Dan menewaskan Chong Wei sebanyak 24 kali.

Kali terakhir pemain negara berusia 33 tahun itu menewaskan Lin Dan pada Terbuka Korea 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 8:31 AM