NAZMIZAN menang dua pingat emas pada Sukan SEA 2003.
NAZMIZAN menang dua pingat emas pada Sukan SEA 2003.
 BADRUL
BADRUL
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemenang dua pingat emas Sukan SEA 2003 Nazmizan Muhamad melontarkan cabaran kepada pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter Badrul Hisyam Abdul Manap supaya dapat menamatkan kemarau pingat dalam acara riben biru apabila Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2017.

Kejayaan Badrul memecahkan rekod 17 tahun milik Watson Nyambek kembali merancakkan tumpuan terhadap sukan itu selepas kemerosotan dari segi pungutan pingat direkod pada Sukan SEA Singapura.

Menurut Nazmizan, cabaran yang dilontarkan itu bukan bermaksud untuk menekan pelari berusia 18 tahun itu namun mampu membuatkan Badrul terus fokus dalam mencapai misinya terutama ketika beraksi di depan penyokong sendiri.

“Saya harap dia akan kekal fokus kepada cita-citanya. Bukan untuk memberi tekanan tapi Badrul perlu ingat dia akan beraksi di depan penyokong sendiri dan pastinya ramai menaruh harapan dia menamatkan penantian meraih emas dalam acara riben biru.

“Jangan biar acara 100m itu jatuh ke tangan orang lain, jangan biar bendera negara lain berada di atas ketika negara menjadi tuan rumah. Kejayaannya membuka mata banyak pihak bahawa negara tidak ketandusan bakat yang mampu menggalas cabaran,” katanya.

Namun, perkara itu perlu diberi pendekatan yang betul oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam merencana program terbaik buat pemenang tiga pingat emas temasya sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Brunei minggu lalu.

Malah, bekas raja pecut Asia Tenggara itu turut menjelaskan Bukit Jalil bukanlah pangkalan latihan terbaik untuk Badrul justeru jangan terlalu memaksanya dan belajarlah daripada pengalaman lalu.

Nazmizan melakar sejarah negara apabila berjaya dinobat sebagai Raja Pecut Asia Tenggara pada 2003.

Anak kelahiran Dungun itu menggondol pingat emas dengan masa 10.47 saat pada temasya Sukan SEA ke-22 di Hanoi.

Dia menjadi pelari pecut ketiga negara pernah menjuarai acara 100 meter Sukan SEA selepas Datuk M Jegathesan pada 1965 di Kuala Lumpur dan G Rajalingam di Bangkok pada 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:46 AM