NAZMIZAN (kanan) mahu Khairul rangkul banyak kejayaan di peringkat lebih tinggi.
NAZMIZAN (kanan) mahu Khairul rangkul banyak kejayaan di peringkat lebih tinggi.
Mohd Khairie Khalid


KEJAYAAN Khairul Hafiz Jantan dinobat ‘Raja Pecut’ baru Asia Tenggara di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi menjadi batu loncatan untuk dia terus merangkul kejayaan di peringkat lebih tinggi selepas ini.

Pingat emas acara pecut 100 meter lelaki di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bukan bermakna atlet itu boleh mendabik dada sebaliknya perlu fokus untuk menghadapi Sukan Asia di Indonesia tahun depan.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Khairul kerana mengembalikan kegemilangan Malaysia dalam acara riben biru dan menamatkan penantian selama 14 tahun.

“Kejayaan di Sukan SEA menjadi batu loncatan untuk Khairul meraih kejayaan lebih tinggi seperti Sukan Asia tahun depan. Dia sudah berada di landasan tepat untuk terus melakar kejayaan,” kata bekas jaguh pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad.

Mengulas lanjut, Nazmizan berharap fokus perlari bergelar The Speedy Jantan itu tidak terganggu hinggalah tamat saingan KL2017 supaya dia dapat memberikan tumpuan penuh kepada acara balapan disertainya.

Empat belas tahun lalu, Nazmizan memenangi emas berganda dalam acara 100m dan 200m pada Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam - menamatkan penantian 36 tahun negara merangkul emas 100m selepas kali terakhir dimenangi G Rajalingam pada Sukan SEAP (Semenanjung Asia Tenggara) 1967 di Bangkok.

Penantian negara sejak 2003 dalam acara pecut 100m akhirnya ditamatkan apabila Khairul yang membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan itu melakar sejarah baru apabila muncul pelari pertama melintasi garisan penamat untuk meraih emas dengan catatan 10.38s.

Larian bertenaga Khairul yang mendapat sorakan puluhan ribu penonton mengecewakan juara edisi lalu, Eric Cray dari Filipina dengan catatan masa 10.43s sementara gangsa milik Kritsada Namsuwun dari Thailand, juga 10.43s.

Dalam perkembangan sama, Nazmizan menyifatkan Malaysia ketika ini memiliki keseimbangan dalam acara pecut apabila Zaidatul Husniah Zulkifli merangkul pingat perak dalam acara 100m wanita dengan masa 11.74s sementara emas dimenangi Le Tu Chinh dari Vietnam (11.56s) dan gangsa Veronic Shanti (Singapura) 11.76s.

Justeru Nazmizan yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berharap akan ada syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun swasta menghulurkan tajaan kepada badan induk Kesatuan Olahraga Malaysia untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 12:25 PM