SERAMAI 14 wanita warga Thailand didenda RM700 setiap seorang di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas  mengaku bersalah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Empat belas wanita Thailand masing-masing didenda sebanyak RM700 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan di pusat hiburan.

Selain itu, kesemua tertuduh yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu turut berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas kesemua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka yang mempunyai pas lawatan sosial yang sah sehingga 5 Ogos ini didapati melanggar syarat pas perjalanan kerana bekerja sebagai pelayan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di sini, pada 1.30 pagi 30 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh itu didakwa mengikut Peraturan 11 (7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 3:49 PM