Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jika dua tahun lalu hasratnya beraksi di Sukan SEA Myanmar terhalang kerana kemampuannya dipertikaikan, kini Singapura bakal menjadi saksi kebangkitan Mohd Izzuddin Yahya yang layak secara merit ke temasya dwi tahunan itu.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin Perlis berusia 29 tahun itu melepasi syarat kelayakan 10.51 saat dalam acara 100 meter selepas melakar 10.48s di Terbuka Terengganu minggu lalu.

Catatan itu sekali gus mencerahkan peluang merangkul pingat di temasya sukan dwi tahunan itu selepas kali terakhir Nazmizan Muhammad menghadiahkan emas berganda dalam acara 100 dan 200m di Hanoi, Vietnam pada 2003.

Selepas hampir sekian lama ketandusan atlet pecut, kehadiran Izzuddin turut memberi sinar untuk menguasai acara riben biru itu.

Catatan 10.48s itu sama dengan masa dilakar pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar dari Thailand, Jirapong Meenapra.

Izzuddin berkata, jika dua tahun lalu peluangnya beraksi di Myanmar dinafikan biarpun ketika itu dia pelari terpantas negara dengan catatan 10.61s, kini dia sedia memberikan yang terbaik berikutan keyakinan yang lebih tinggi.

“Saya bersyukur kerana melepasi syarat kelayakan walaupun serba kekurangan. Tanpa peralatan lengkap, makanan tambahan dan elaun, saya berjaya melakukannya.

“Semua ini atas sokongan keluarga, isteri dan juga jurulatih (Nazmizan) yang tidak putus-putus memberi semangat,” katanya.

Izzuddin menyifatkan pengalaman dua tahun lalu menjadikan dirinya semakin kuat selain gembira kerana dapat kembali berlatih di bawah Nazmizan selepas terpaksa menjalani latihan bersendirian di Sarawak apabila ditugaskan di negeri itu.

Meletakkan sasaran untuk layak acara 200m selepas ini dia berkata, bantuan video dan biomekanik daripada Universiti Malaysia Perlis banyak membantunya memperbaiki teknik larian.

Di Terbuka Terengganu, Izzuddin menewaskan Badrul Hisham Abdul Manap yang menduduki tempat kedua dengan 10.59s manakala Nixson Kennedy ketiga, 10.66s.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:27 AM