AHMAD Maslan (tiga kiri) disamping jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam, Jalan Madirono, Benut Pontian. FOTO Togi Marzuki
AHMAD Maslan (tiga kiri) disamping jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam, Jalan Madirono, Benut Pontian. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki

Pontian: Kira-kira 500 penduduk menarik nafas lega apabila jambatan Bailey dipasang di Kampung Permatang Sepam, Benut, di sini, bermula hari ini untuk kegunaan sementara.

Ketua Kampung Permatang Sepam Kawasan 6 Mukim Benut, Mohd Ikhsan Hashim berkata, penduduk terutama pelajar selama ini terpaksa menggunakan jambatan lama sebagai laluan utama.

"Sebelum ini, jambatan sedia ada yang berusia lebih 40 tahun mengalami kerosakan di beberapa struktur termasuk tiang dan permukaan.

"Akibat keadaan itu, penduduk mengalami kesukaran terutama kepada golongan petani untuk mengeluarkan hasil tani.

"Malah, pelajar terpaksa melalui jambatann lain yang lebih jauh iaitu kira-kira lapan kilometer bagi mengelakkan risiko," katanya.

Mohd Ikhsan berkata demikian ketika ditemui Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan melawat Projek Jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Ir Abu Bakar Abd Aziz dan Jurutera JKR Daerah Pontian Ir Saharuddin Ismail.

Katanya, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan jambatan Bailey yang boleh digunakan mulai Rabu ini untuk kemudahan penduduk.

"Pada masa sama, pelajar dapat menjimatkan masa perjalanan untuk ke sekolah," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, jambatan sedia ada berusia lebih 40 tahun mengalami kerosakan berpunca sebahagian strukturnya dihanyutkan air termasuk disebabkan peningkatan beban mendatar di tiang jambatan berkenaan.

Menurutnya, pemasangan jambatan berkenaan hasil kerjasama antara kerajaan Johor dan kerajaan persekutuan yang dijangka siap sepenuhnya pada Rabu ini.

"Untuk makluman, jambatan Bailey ini hanya boleh dilalui kenderaan tidak melebihi seberat lima tan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 4:19 PM