Sandiaga Salahuddin Uno. FOTO Agensi
Sandiaga Salahuddin Uno. FOTO Agensi
Agensi

Jakarta: Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Salahuddin Uno, menyuarakan sokongan kepada pihak imigresen yang mengambil tindakan tegas terhadap pelancong melanggar peraturan.

Agensi Berita Indonesia (ANTARA) melaporkan, Sandiaga berkata mesej jelas mesti disampaikan kepada pelancong iaitu mesti mematuhi undang-undang dan peraturan, sebarang pelanggarannya akan mengakibatkan prosiding undang-undang.

"Kita kena tegas. Kita sediakan pelancongan berkualiti, jadi pelancong juga harus menghargai kearifan budaya dan pelestarian tradisi dan kesenian Bali," katanya ketika melawat Pelabuhan Perikanan Kepulauan Pengambengan (PPN) di daerah Jembarana pada Sabtu.

Baru-baru ini, Direktorat Pengawasan dan Penguatkuasaan Imigresen Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia menahan 103 warga asing di Bali kerana disyaki menyalahgunakan permit imigresen dan melakukan jenayah siber.

Dari segi penguatkuasaan, Sandiaga memuji pihak imigresen kerana bertindak pantas mengambil tindakan terhadap pelancong asing yang didapati melanggar peraturan.

"Pelancong yang datang mesti menyesuaikan diri dengan matlamat mereka datang ke Indonesia. Jika terpesong daripada matlamat mereka, misalnya bekerja di sini, mereka mesti ditangani," katanya.

Selain pelancong melanggar undang-undang dan peraturan, beliau juga memberi amaran mengenai kesan negatif pelancongan berlebihan.

Sandiaga memberikan contoh Barcelona, yang mana penduduk tempatan baru-baru ini menggunakan pistol air ke atas pelancong kerana mereka berasa tidak selesa dengan kehadiran mereka.

"Perkara seperti contoh itu tidak sepatutnya berlaku di Bali apabila orang ramai berasa tidak selesa dengan kehadiran pelancong.

"Ini kerana pelancongan adalah satu daripada pemacu ekonomi," katanya.

Menurutnya, untuk memastikan industri pelancongan berjalan dengan baik, keseimbangan perlu dicapai antara kepentingan pelancong dan keselesaan masyarakat setempat termasuk dalam penularan destinasi pelancongan lain agar pelancong tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 4:13 PM