PERKONGSIAN Siti di media sosial.
PERKONGSIAN Siti di media sosial.

Kuala Lumpur: Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan modus operandi baharu scammer yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menduplikasikan suaranya bagi menipu orang ramai.

Kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang tergamak memperdaya orang ramai dengan menawarkan hadiah wang tunai, Siti tampil membongkar kegiatan mereka di akaun media sosial miliknya, hari ini.

"Palsu. Jangan percaya scammer. Ini adalah salah satu contoh kes cubaan menipu menggunakan nama, akaun media sosial ada nama dan gambar saya, siap letak suara Al untuk yakinkan orang ramai dan selebihnya ambil mana-mana video 'live' (siaran langsung) saya dengan tujuan nak perangkap supaya orang percaya.

"Tolong sampaikan, sebarkan, nasihat dan maklumkan kepada kaum keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan anda bahawa saya tidak pernah membuat pertandingan atau dengan tujuan memberi wang tunai kepada sesiapa dan jangan terpedaya apabila menerima mesej, video call dan sebagainya," katanya.

Menurut Siti, dia mendakwa ramai pihak menggunakan namanya untuk tujuan memperdaya orang ramai terutama warga emas.

"Banyak kes penipuan menggunakan nama saya dan sudah berlangsung lama. Saya sangat berharap agar semua pihak berhati-hati kerana scammer ini mencari sasaran orang yang berusia (warga emas) untuk memperdaya dengan tawaran hadiah wang tunai. Mereka sebenarnya penipu." katanya.

Untuk rekod, Siti sering menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan wajah dan namanya di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 3:57 PM