REZAFARISH (kanan) dan isteri, Rohayati bersama pekerja, Wan Muhammad Aiman. FOTO Hairul Anuar Rahim
REZAFARISH (kanan) dan isteri, Rohayati bersama pekerja, Wan Muhammad Aiman. FOTO Hairul Anuar Rahim
Redzuan Muharam


Shah Alam: Rezafarish Yusop Khan dan isterinya, Rohayati Zakaria masing-masing berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan serta bersama mencari rezeki dengan menguruskan pusat terapi urut OKU.

Selain mengurus, mereka berdua juga adalah juru terapi di pusat berkenaan yang sudah 13 tahun beroperasi.

Lebih menarik, Rezafarish, 44, dan Rohayati, 38, tidak hanya menawarkan khidmat mengurut namun turut membuka peluang kepada OKU lain untuk bekerja dengan mereka.

Rezarish selaku pemilik dan pengurus berkata, dia mula membuka peluang kepada OKU bekerja di pusat urut terapi miliknya sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Bekas chef itu berkata, dia tidak menerima pekerja dalam kalangan OKU penglihatan saja walaupun mereka sinonim dengan pekerjaan sebagai juru terapi tetapi juga terbuka kepada insan istimewa kategori lain.

"Niat saya menggajikan pekerja OKU tentunya memberi peluang pekerjaan dan pengalaman kerja kepada mereka supaya tak rasa tersisih.

"Tambahan, saya dan isteri juga OKU, jadi faham keinginan serta keperluan mereka yang juga ingin bekerja.

"Cuma, saya cuba pecahkan tembok yang menghalang OKU lain bekerja sebagai juru terapi dan kalau boleh, tak nak OKU penglihatan saja yang dominan.

"Jadi caranya adalah dengan beri peluang sama rata termasuk kepada OKU selain penglihatan dengan syarat mereka berminat dan ada kesungguhan," katanya ketika ditemui di Pusat Urut Terapi OKU miliknya dekat Seksyen 13, di sini.

Rezafarish berkata, setakat ini, dia berpengalaman melatih dan membimbing 40 OKU yang pernah diambilnya sebagai juru terapi di pusat miliknya itu.

Bagaimanapun, buat masa ini, hanya dia dan isteri bersama seorang OKU penglihatan dengan OKU saraf tunjang yang akan mula bekerja dalam waktu terdekat.

"Cabaran dalam bidang ini adalah perlu bersaing dengan orang normal namun kita cuba berikan perkhidmatan terbaik supaya pelanggan berpuas hati.

"Perancangan saya adalah membuka sebuah pusat yang boleh mengajar dan melatih OKU sebagai juru terapi profesional di satu tempat sebelum berusia 50 tahun.

"Ramai berminat sebenarnya cuma mereka fikir bidang ini hanya OKU penglihatan saja jadi saranan saya teruskan malah saya sedia beri bimbingan jika ada minta beri tunjuk ajar," katanya memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perhotelan lulusan sebuah Institut Pengajian Swasta (IPTS).

Sementara itu, isterinya, Rohayati berkata, niatnya dan suami memberi peluang kepada OKU bekerja sebagai juru terapi bertujuan memberi mereka pengalaman dan platform mengasah kemahiran terutama dalam mengurut.

Lantaran itu, dia dan suami sepakat membuka peluang untuk semua OKU tanpa mengehadkan kepada mereka yang mempunyai masalah penglihatan semata-mata.

"Saya dan suami mahu OKU di luar sana ada kemahiran yang boleh mereka gunakan untuk menjana pendapatan.

"Ia kerana kami percaya sebahagiannya ada kemahiran asas cuma tiada peluang untuk diketengahkan lagi jadi pusat terapi urut OKU milik suami adalah platformnya.

"Saya memang seronok jadi juru terapi malah layan pelanggan macam kawan walaupun baru pertama kali bertemu.

"Cuma biasalah, awalnya mereka tak yakin tapi apabila sudah cuba, pelanggan biasanya akan datang lagi dan saya juga suami berharap dapat membuka peluang kepada lebih ramai OKU di luar sana," katanya yang hanya dapat melihat dengan mata kanan.

Sementara itu, OKU penglihatan, Wan Muhammad Aiman Wan Roslan, 25, dia mempunyai dua tahun pengalaman sebagai juru terapi namun baru lima bulan bekerja di pusat urut terapi berkenaan.

Wan Muhammad Aiman berkata, bukan mudah untuk OKU sepertinya diberi kesempatan menunjukkan bakat dan kebolehan diri, jadi dia amat menghargai peluang kerja diberi oleh Rezafarish selaku majikannya.

"Walaupun ada pengalaman dan asas mengurut di Pusat Urut Brickfield namun saya tetap diajar teknik baru di sini.

"Setakat ini, emak dan ayah sokong, nak dapat kerja dalam bidang lain susah jadi saya teruskan saja dalam bidang ini kerana seronok dan puas tengok orang lega selepas mengurut mereka," katanya yang berstatus OKU sejak lahir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 4:32 PM