ZII Jia dapat laluan mudah dalam saingan peringkat kumpulan di Sukan Olimpik.
ZII Jia dapat laluan mudah dalam saingan peringkat kumpulan di Sukan Olimpik.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia tidak pernah lekang daripada kontroversi sejak muncul juara All England 2021 di Birmingham, England.

Bermula dengan keputusannya keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada awal 2022, diikuti menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham 2022 sehinggalah menerima bayaran 'hak imej' bagi menyertai skuad kebangsaan pada Piala Thomas 2024 di Chengdu, China; Zii Jia sering menjadi mangsa kritikan termasuk media tempatan.

Selepas tersingkir daripada pusingan 16 terbaik di tangan jaguh China, Chen Long, pada penampilan sulung Sukan Olimpik di Tokyo 2020, tumpuan sekali lagi terarah kepada kemampuan pemain nombor tujuh dunia itu bagi edisi 2024 di Paris.

Sama ada kekal dihujani kritikan atau dilambung pujian, segala-galanya bergantung kepada Zii Jia untuk menjelmakan magis yang mampu mempersonakan jutaan rakyat Malaysia sewaktu beraksi di Porte de la Chapelle Arena nanti.

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin, menerusi pertemuannya dengan pemain berusia 26 tahun itu baru-baru ini berkata, Zii Jia mahu melakukan kejutan pada saingan berlangsung pada 27 Julai hingga 5 Ogos ini.

Harapan pastinya menyala buat pemain dari Kedah itu untuk menyinar di Paris 2024 selepas beliau merangkul dua gelaran iaitu Terbuka Thailand 2024 pada Mei diikuti Terbuka Australia 2024, bulan lalu.

Semangat juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 itu sudah semestinya membara lebih-lebih lagi selepas mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan di Paris 2024.

Zii Jia mengetuai Kumpulan G bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol, Pablo Abian.

Berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia belum pernah menentang Nettansinghe dan beliau tidak boleh memandang ringan kemampuan Pablo Abian yang pernah mengheretnya sehingga ke rubber set sebelum menang 21-11, 21-23, 24-22 pada pusingan pertama Terbuka Hylo 2021 di Jerman.

Sekiranya berjaya mengungguli peringkat kumpulan, ujian sebenar Zii Jia akan bermula di peringkat penyingkiran apabila berkemungkinan membuat perhitungan awal dengan pemain Indonesia, Anthony Ginting (kesembilan dunia) di pusingan 16 terbaik.

Pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu kemudian dijangka berdepan rakan karibnya yang juga pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen dari Denmark diikuti pilihan utama dari China, Shi Yu Qi di separuh akhir dan juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark menanti di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 4:27 PM