Kuala Lumpur: Pemenang pingat perak acara 200 meter Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak Muhammad Aqil Yasmin kini bersedia mengibarkan cabaran di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang bermula esok.

Peluang beraksi dengan jaguh pecut negara pastinya memberi pengalaman berguna buat pelari Selangor berusia 19 tahun itu dalam acara 100 meter.

Meletakkan sasaran memperbaiki catatan terbaik peribadi acara riben biru, Aqil bagaimanapun sedar bukan mudah untuknya meraih emas justeru memperbaiki rekod terbaik peribadi menjadi sasaran realistik.

“Di Terbuka Malaysia ini saya hanya akan fokus terhadap 100m saja dengan cuba memperbaiki catatan terbaik peribadi 10.48 saat ketika SUKMA Sarawak.

“Saya harap dapat melakukan yang terbaik biarpun sedar cabaran sengit yang datang daripada nama besar seperti Badrul (Hisyam Abdul Manap), Haikal Hanafi, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy,” katanya.

Namun kata-kata perangsang jurulatihnya Simon Lau, menyuntik semangat Aqil untuk melakarkan kejutan.

“Jangan putus asa. Bila berada di atas trek semua atlet sama. Fokus terhadap larian jangan fikir orang lain hebat atau tidak dan anggap semua sama.

“Itu nasihat jurulatih saya yang sentiasa memberi dorongan untuk terus berlari lebih pantas,” katanya yang meletakkan sasaran beraksi bersama kuartet 4x100m negara di temasya Sukan SEA tahun depan.

Pemegang rekod 100m negara, Khairul Hafiz Jantan kini mendahului senarai pelari terpantas negara dengan catatan 10.18s diikuti rakan sepelatih Badrul 10.29s dan Jonathan di kedudukan ketiga.

Tanpa Khiarul yang tidak akan beraksi dalam acara itu menyaksikan peluang kini lebih terbuka kepada semua peserta terutama dengan ketiadaan Raja Pecut Sukan SEA Singapura 2015 Eric Clay.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 8:39 AM