FOTO Zulkepli Osman
FOTO Zulkepli Osman
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Pekan: Majlis Khatan Perdana Peringkat Parlimen Pekan catat sejarah apabila dilakarkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) berikutan membabitkan 1,201 kanak-kanak.

Sijil pengiktirafan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Datuk Michael Tio kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mewakili UMNO Bahagian Pekan.

Seratus pembantu perubatan, doktor dan jururawat dari Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, terbabit dalam majlis itu.

Mereka mengambil empat hari bermula 26 November untuk melaksanakan proses khatan itu.

Rekod baru itu sekali gus memecahkan rekod 13 tahun yang dicatatkan di Shah Alam, Selangor, dengan pembabitan 1,000 kanak-kanak.

Najib dalam ucapan ringkasnya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka terbabit dalam program berkenaan.

"Berkhatan sekarang tidak macam dulu...tok mudim masa itu popular di kampung-kampung. Kita pun tahu macam-macam cerita ketika urusan itu dilangsungkan.

"Tetapi saya tidak mahu sebut takut budak-budak kita naik takut kalau saya sebut. Tetapi sekarang ini tidak begitu menakutkan dan terlalu mudah," katanya.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Dalam majlis itu juga, Najib turut menyampaikan bayaran hasil kenaf 2015 berjumlah RM5.5 juta untuk diagihkan kepada 913 penanam kenaf di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 3:28 PM