TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) melihat pelan cadangan pembinaan Kompleks Sukan Bagan Datuk di Batu 28, Bagan Datuk. FOTO NSTP/MUHAIZAN YAHYA
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) melihat pelan cadangan pembinaan Kompleks Sukan Bagan Datuk di Batu 28, Bagan Datuk. FOTO NSTP/MUHAIZAN YAHYA

Maiamalina Mohamed Amin; Shaarani Ismail dan Teh Athira Yusof

[email protected]

SEMUA calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini sudah menandatangani watikah perlantikan masing-masing, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak sudah memuktamadkan senarai itu dan tiada pertukaran dibuat sehingga proses penamaan calon, esok.

Timbalan Perdana Menteri memaklumkan kepemimpinan parti tidak akan melayan sebarang desakan untuk menukar atau menamakan calon lain.

“Walaupun terdapat usaha beberapa individu dan kumpulan mereka untuk terus melobi dan desak supaya pertukaran dilakukan, Yang Amat Berhormat Najib sudah memuktamadkan 100 peratus nama berkenaan dan watikah ditandatangani, serah kepada mereka (calon).

“Perlu diketahui bahawa dalam perlembagaan parti, peraturannya (adalah) mereka sama ada parti komponen atau UMNO yang tidak puas hati... yang tak dicalonkan, secara automatik terkeluar daripada hak keahlian parti (jika bertanding bebas),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan sekitar Waterfront Bagan Datuk, Bagan Datuk, hari ini.

Berikutan itu, Ahmad Zahid mengharapkan sokongan semua pemimpin dan ahli akar umbi untuk bersatu dan menyokong calon bagi memenangkan BN.

Katanya, calon yang terpilih pula perlu bekerja keras bukan hanya untuk memenangkan kerusi diwakili, bahkan berusaha mendekati mereka yang tidak dicalonkan serta penyokongnya.

“Usaha ini harus dibuat calon (bertanding) sendiri bersama jentera. Jangan ada perasaan untuk merendahkan atau lakukan sesuatu negatif terhadap mereka yang tak berjaya atau disambung sebagai wakil rakyat.

“Saya harap kita turun bertemu akar umbi dan terus gamit sokongan dan dokongan daripada penyokong.

“Bukan hanya BN saja yang hadapi masalah pemilihan calon, parti lawan dan kita pilih calon yang terbaik daripada terbaik,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu Muslimin Yahaya iaitu pegawai khas kepada seorang daripada setiausaha politiknya yang menyertai pakatan pembangkang, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah menasihati bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Sungai Besar itu, sebelum Muslimin bertindak keluar parti, malam tadi.

Beliau berkata, Muslimin membuat keputusan itu selepas hasratnya bertanding di Parlimen Sungai Besar tidak ditunaikan.

“Dia umumkan sertai PKR. Sebelum ini saya nasihatkan dia supaya bersabar tapi dia berhasrat bertanding di Sungai Besar, maka saya ucapkan selamat berjaya.

“Dia kena bayar harga sepatutnya apabila buat tindakan demikian. Itu tindakan peribadi beliau sebagai individu dan saya harap tidak dikaitkan dengan setiausaha politik saya ataupun permasalahan di Sungai Besar kerana saya sudah serahkan masalah ini (untuk ditangani) atas kebijaksanaan kepemimpinan UMNO Sungai Besar,” katanya.

Muslimin sebelum ini pernah menjadi setiausaha politik kepada Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon.

Difahamkan, pakatan pembangkang akan menamakan Muslimin sebagai calonnya untuk bertanding di Sungai Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 7:34 PM