Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“SAYA sepatutnya datang menjenguk Hafiz semalam kerana sudah lama tidak bertemu dengannya, tetapi tidak menyangka hanya mampu menatap wajah kakunya sahaja,” kata Mohamad Zaliza Abdullah, 23.

Dia adalah bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki, Muhammad Hafiz Abdullah, 5, yang meninggal dunia dipercayai didera oleh bapa tirinya di Kampung Batu Balik, Pekan, semalam.

Katanya, dia berasa ralat dan menyesal kerana tidak sempat berbuat demikian berikutan terlalu banyak urusan perlu diselesaikan.

Dia yang tinggal di FELDA Chini, Pekan berkata, Hafiz sememangnya rapat dengannya memandangkan mereka pernah tinggal bersama sebelum kakaknya berkahwin dengan lelaki berkenaan, empat tahun lalu.

“Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika ini, saya tidak sangka dia (abang ipar) sanggup memperlakukan Hafiz sebegitu.

“Urusan tuntutan jenazahnya akan diuruskan petang ini, kalau boleh kami nak uruskan segera... kalau ikutkan perancangan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Batu, Nenasi, petang ini juga,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, hari ini.

JENAZAH Muhammad Hafiz dituntut keluarga terdekat selepas selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.
JENAZAH Muhammad Hafiz dituntut keluarga terdekat selepas selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, hari ini. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Media hari ini melaporkan Muhammad Hafiz meninggal dunia akibat didera dengan beberapa kesan kecederaan ditemui di badannya.

Mohamad Zaliza mengakui terkejut sebaik menerima berita itu dan mengakui abang iparnya adalah seorang yang tidak banyak bercakap, namun sangat baik dengan orang kampung, terutama jiran mereka.

“Biasanya, kalau dia (abang ipar) bercakap boleh kalah ustaz, baik sangat dan saya tidak nampak yang dia boleh melakukan perbuatan seperti ini.

“Sebab itulah memang saya tidak sangka benda macam ini boleh berlaku, apatah lagi hingga mengakibatkan kematian,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor binaan.

Dia berkata, abang iparnya itu sebelum ini bekerja dengan ladang milik kerajaan negeri Pahang di Muadzam Shah, Rompin, dan berpindah ke Kampung Batu Balik, selepas berkahwin dengan ibu mangsa kira-kira lima tahun lalu.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Suspek dera anak tiri jarang bergaul'

'Budak didera sampai mati'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 4:49 PM