RUSNAH  (depan kanan) melawat tapak pameran selepas majlis perasmian Program Townhall & Bandar Selamat.
RUSNAH (depan kanan) melawat tapak pameran selepas majlis perasmian Program Townhall & Bandar Selamat.
myMetro

Parit Buntar: Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar mengemukakan dua calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Ketua Wanita UMNO negeri Datuk Rusnah Kassim berkata, kedua-dua calon tempatan itu mempunyai keupayaan dan kepemimpinan serta mendapat sokongan dalam kalangan pengundi.

Katanya, salah seorang daripada calon terbabit mempunyai jawatan dalam Wanita UMNO bahagian berkenaan dan seorang lagi tidak mempunyai jawatan.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan mengenai calon dan wanita akan menyokong siapa saja calon yang dipilih untuk bertanding di kawasan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Program Townhall dan Bandar Selamat sempena Program Pemukiman Menteri Besar Perak di daerah Kerian, di sini, semalam.

Rusnah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata, pihaknya juga sudah menggerakkan jentera Wanita UMNO untuk bertemu dengan pengundi pada pilihan raya berkenaan.

“Wanita UMNO sudah berjumpa pengundi kerana kita tidak tunggu sehingga penamaan calon baru bertemu pengundi,” katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Turut terkorban dalam nahas itu Ahli Parlimen Sungai Besar, Selangor yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 7:16 AM