KETUA UMNO Bahagian Gopeng Datuk Hamzah Kassim (tiga kanan) bersama barisan kepimpinan bahagian itu yang lain pada sidang media Rabu malam menyatakan sokongan terhadap pemecatan Ketua Wanita bahagian, Datuk Hamidah Osman oleh Majlis Tertinggi UMNO. FOTO Bernama
KETUA UMNO Bahagian Gopeng Datuk Hamzah Kassim (tiga kanan) bersama barisan kepimpinan bahagian itu yang lain pada sidang media Rabu malam menyatakan sokongan terhadap pemecatan Ketua Wanita bahagian, Datuk Hamidah Osman oleh Majlis Tertinggi UMNO. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Setiap anggota UMNO perlu mengimbangi antara hak kebebasan bersuara dan disiplin parti sebelum membuat sebarang kenyataan, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, anggota UMNO dibenarkan membuat kritikan terhadap parti tetapi jika dilakukan di pentas pembangkang, ia adalah perkara yang tidak boleh diterima.

“Ramai yang kritik dan kita terima kritikan serta pandangan mereka yang berbeza daripada kepimpinan parti. Mereka masih diterima dalam parti namun berbeza dengan kes Hamidah (Ketua Wanita UMNO bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman).

“Apabila seseorang individu melanggar batasan dengan menghadiri program pembangkang dan bersekongkol dengan pembangkang... menyatakan pandangan tidak berasas di atas pentas yang tidak ‘friendly’ kepada UMNO, maka kita tidak ada pilihan,” katanya selepas Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara sidang dua penggal ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku presiden parti membuat keputusan memecat Hamidah daripada parti.

Sementara itu, di Ipoh, UMNO Bahagian Gopeng sebulat suara menerima keputusan Majlis Tertinggi UMNO berhubung pemecatan Hamidah daripada parti berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Gopeng Senator Datuk Hamzah Kassim pada masa sama, berkata UMNO Bahagian berkenaan tetap bersatu dan tidak akan menimbulkan masalah pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Hamzah berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk melantik Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng yang baru. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 12:46 AM