TENGKU Adnan (tengah) bersama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh (dua kanan) ketika sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015. Turut sama Penolong Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar (dua kiri); Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Saffri Ab Aziz (kanan) dan Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Fahariyah Md Nordin (kiri). FOTO Abdullah Yusof
TENGKU Adnan (tengah) bersama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh (dua kanan) ketika sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015. Turut sama Penolong Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar (dua kiri); Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Saffri Ab Aziz (kanan) dan Penolong Setiausaha Puteri UMNO, Fahariyah Md Nordin (kiri). FOTO Abdullah Yusof
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Keputusan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Penggulungan Perhimpunan Agung parti itu atau tidak akan diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 9 Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, bagaimanapun beliau berpandangan memadai hanya Presiden berucap.

"Itu pandangan saya. (Apapun) tunggu Mesyuarat MT khas," katanya selepas taklimat media berhubung perjalanan Perhimpunan Agubg UMNO (PAU) 2015 di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada parti itu sudah memuktamadkan berhubung isu itu.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut menegaskan pihaknya sudah menghantar surat kepada bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng, Datuk Hamidah Osman berhubung pemecatannya daripada jawatan dan ahli parti.

Mengulas lanjut mengenai PAU 2015, katanya, perhimpunan parti terbesar itu dianggarkan dihadiri 2,762perwakilan di peringkat bahagian.

"Petugas media berdaftar pula seramai 1,453 orang daripada 60 agensi media cetak dan elektronik selain media baharu termasuk blogger dan portal berita online.

"Ini membabitkan 50 agensi tempatan dan 10 antarabangsa," katanya.

Beliau meminta media mematuhi etika ditetapkan berkaitan pakaian dan pergerakan di dalam dewan bagi memastikan perjalanan persidangan.

Katanya, media yang membuat liputan ditempatkan di Laman Media di Aras 2, selain sidang media diadakan di Bilik Pulau Pinang, Aras 2 dan Bilik Melor, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra.

"Kita juga memastikan tahap keselamatan terjamin sepanjang PAU 2015 bermula 8 hingga 12 Disember nanti termasuk bekerjasama dengan pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 8:40 PM