SHAMSUL Anuar
SHAMSUL Anuar
myMetro

Kuala Kangsar: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar perlu menolak calon Bebas, Syed Rosli Harman Syed Jamalullail yang menawarkan diri merebut kerusi Parlimen itu kerana dilihat mempunyai kepentingan peribadi dan bukan untuk rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, masyarakat seharusnya menolak calon berkenaan kerana dia tidak menyatakan matlamat sebenar bertanding dalam pilihan raya itu.

“Bila bertanding, kita bukan memperjuangkan kepentingan peribadi. Apa matlamat dia bertanding adakah kerana protes? Dia tidak wajar disokong rakyat Kuala Kangsar kerana yang hendak dipilih wakil yang membawa suara rakyat ke Parlimen.

“Calon bebas ini dia berjuang untuk apa dan dia bertanding untuk apa? Adakah dia benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat? Saya rasa tidak,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Ibu Tunggal Kuala Kangsar di Dewan Jubli Kuala Kangsar, di sini, kelmarin.

Shamsul Anuar turut membidas kenyataan bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang mengatakan PRK Kuala Kangsar dilihat pelik kerana calon Barisan Nasional (BN) tidak keluar berkempen.

Katanya, Hamidah sepatutnya mengkaji sejarah sebelum mengeluarkan kenyataan kerana perkara itu bukan sesuatu yang baru dalam arena politik di Malaysia

“Kenapa pelik bila BN buat, tapi bila parti lain buat tak pelik pula? Agama tidak melarang malah ia juga mendapat pandangan daripada Mufti Perak.

“Saya rasa pandangan Hamidah itu tidak tepat dan tidak tahu sejarah, beliau sepatutnya kena kaji dulu perkara ini. Yang pernah bertanding, tetapi tidak hadir itu datang daripada kalangan orang yang dia sokong sekarang ini.

“Sepatutnya dia kaji dulu dan tengok pada orang yang dia sokong sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 7:21 AM