POLIS mengeluarkan mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan di Hotel Radisson Blu kelmarin.
POLIS mengeluarkan mayat mangsa yang terbunuh dalam serangan di Hotel Radisson Blu kelmarin.

Bamako (Mali): Presiden Mali, Ibrahim Boubacar mengumumkan perintah darurat selama 10 hari dan tempoh berkabung selama tiga hari susulan drama tebusan di sebuah hotel mewah di sini kelmarin yang menyebabkan 20 orang maut, majoritinya warga asing.

Ibrahim yang mengumumkan angka korban itu memberitahu tujuh lagi cedera dalam serangan berkenaan.

Kumpulan pengganas Al Mourabitoun yang mempunyai kaitan dengan rangkaian al Qaeda mengaku bertanggungjawab menyerang Hotel Radisson Blu itu.

Serangan berkenaan dipercayai dirancang pengganas bermata satu kelahiran Algeria, Mokhtar Belmokhtar.

Menteri Pertahan Perancis, Jean-Yves Le Drian berkata, Mokhtar yang buta sebelah mata dan dikehendaki beberapa negara disyaki dalang serangan di Mali itu.

Serangan terhadap hotel berlaku seminggu selepas anggota militan Negara Islam (IS) menyerang Paris, Perancis yang menyebabkan 129 orang maut.

Beberapa lelaki bersenjata menyerbu hotel itu kelmarin dan menjadikan lebih 170 tetamu sebagai tebusan.

Drama tebusan itu berakhir apabila tentera menyerbu hotel berkenaan dan berlaku tembak menembak yang menyebabkan penyerang serta beberapa tebusan maut. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:13 AM