Anggota pengaman MINUSMA. FOTO AFP.
Anggota pengaman MINUSMA. FOTO AFP.
BERNAMA

Bamako (Mali): Tujuh anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh dan tiga lagi parah dalam satu letupan di tengah Mali pada Rabu.

Konvoi logistik itu terkena alat letupan buatan sendiri di wilayah Bandiagara ketika dalam perjalanan ke bandar Sevare dari Douentza, menurut Jurucakap Misi Kestabilan Integrasi Pelbagai Dimensi PBB di Mali (MINUSMA), Olivier Salgado yang dipetik Anadolu Agency.

Ketua MINUSMA, El-Ghassim pula mengutuk serangan itu sambil menegaskan ia adalah jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

"Tragedi ini menambah lagi jumlah serangan ke atas pasukan pengaman di Mali," katanya dalam kenyataan.

Ketua Setiausaha Agung PBB bagi Operasi Pengaman, Jean-Pierre Lacroix memaklumkan anggota yang gugur itu adalah warga negara Togo.

"Jenayah ini tidak boleh terlepas daripada hukuman," katanya di Twitter.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas letupan itu yang berlaku susulan serangan ke atas empat kem MINUSMA di utara Mali, baru-baru ini.

Misi PBB telah merekodkan lebih 230 kematian sejak ditempatkan di Mali bermula 2013, menurut data PBB.

Negara di utara negara Afrika Barat itu memerangi pemberontakan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda dan Daesh/ISIS sejak 2012.

Keganasan telah meragut nyawa beribu orang awam dan pasukan keselamatan, juga merebak ke negara jiran, Niger dan Burkina Faso.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 11:08 AM