De Fam menarik diri daripada program itu pada minggu kelima atas faktor kesihatan. Foto IG Defam
De Fam menarik diri daripada program itu pada minggu kelima atas faktor kesihatan. Foto IG Defam
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Program The Hardest Singing Show (THSS) yang baru menyingkirkan seorang peserta dalam program itu selepas lapan minggu bersiaran mempunyai alasan tersendiri untuk mengekalkan enam peserta yang masih berbaki dalam program itu.

Penerbit eksekutif THSS, Daus Mahadi berkata, pihaknya ingin memberi peluang kepada peserta yang masih berada dalam program itu untuk terus menunjukkan bakat mereka.

"Ia adalah sebahagian daripada rancangan. Kami tidak membuat penyingkiran sehingga kini untuk memberi peluang kepada peserta menunjukkan bakat unik mereka sebagai sebahagian daripada persembahan mereka.

"Kami sarankan pihak media untuk hadir ke konsert separuh akhir minggu ini untuk menyaksikan kejutan-kejutan lain," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu konsep THSS terus mencetuskan pertanyaan dalam kalangan penonton apabila sepanjang lapan minggu bersiaran, hanya seorang peserta yang disingkirkan iaitu penyanyi, Kaka Azraff.

Persoalan yang dibangkitkan itu turut mencuri perhatian Kaka yang turut mengulang siar kenyataan yang dikongsikan di Instagram Story.

Kaka menjadi peserta pertama tersingkir di minggu keempat.

Sementara kumpulan De Fam pula mengumumkan keputusan untuk menarik diri menyertai program itu pada minggu kelima atas faktor kesihatan salah seorang anggota kumpulan itu.

Sebelum itu, pada minggu kedua penyanyi Datin Alyah memohon mengundurkan diri kerana mengerjakan ibadah Haji.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:22 PM