BEBERAPA tetamu dilihat cuba menyelamatkan diri dari bilik hotel yang terbakar dengan turun menggunakan cadar. - Reuters
BEBERAPA tetamu dilihat cuba menyelamatkan diri dari bilik hotel yang terbakar dengan turun menggunakan cadar. - Reuters
AFP

Kabul: Sekumpulan penyerang bersenjata menyerbu sebuah hotel mewah di Kabul kelmarin dan membunuh enam tetamu serta mencetuskan drama tebusan selama 12 jam.

Kumpulan Taliban mengaku melancarkan serangan terhadap Hotel Intercontinental setinggi enam tingkat yang terletak di atas bukit menghadap Kabul.

Serangan yang bermula pada malam kelmarin itu menyebabkan berpuluh tetamu yang ketakutan bergegas keluar menyelamatkan diri dengan sebahagian bangunan terbakar.

Beberapa tetamu yang terperangkap di tingkat atas bangunan mengikat cadar di balkoni untuk dijadikan tali bagi turun ke bawah.

Pasukan elit tentera yang menaiki helikopter turun ke bumbung hotel itu sebelum membunuh empat penyerang dalam operasi yang berlangsung selama beberapa jam itu.

“Lima mangsa warga tempatan dan seorang warga asing terbunuh,” kata jurucakap kementerian dalam negeri, Nasrat Rahimi.

Katanya, lebih 150 tetamu diselamatkan termasuk lebih 40 warga asing.

Pegawai berkata, empat lelaki bersenjata menyerbu hotel berkenaan sebelum melepaskan tembakan pada tetamu dan pekerja serta menjadikan berpuluh mangsa sebagai tebusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 10:54 AM