Bamako (Mali): Sekurang-kurangnya 27 orang dilaporkan maut selepas komando Mali menyerbu Hotel Radisson Blu di sini yang ditawan sekumpulan lelaki bersenjata dengan 170 dijadikan tebusan.

Seorang pegawai Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) memberitahu Reuters, anggota pengaman UN di lokasi kejadian melihat 12 mayat di tingkat bawah tanah hotel itu dan 15 lagi di tingkat kedua.

Mereka juga masih menolong pihak berkuasa Mali dalam usaha pencarian di dalam hotel itu.

Antara yang maut termasuk pekerja Parlimen serantau Belgium.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Kolonel Salif Traore berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu merempuh sekatan keselamatan pada 7 pagi Jumaat (3 petang waktu Malaysia) sambil melepaskan tembakan dan melaungkan ‘Allahu Akbar.’

Katanya, 76 orang telah dibebaskan oleh pasukan penyelamat.

Bagaimanapun, kejadian tebusan di hotel ini dilaporkan sudah berakhir dan penasihat menteri, Amadou Sangho memberitahu stesen televisyen Perancis, BFMTV bahawa tiada lagi tebusan yang ditawan.

Sementara itu, sumber keselamatan berkata, dua penyerang bersenjata telah dibunuh pasukan keselamatan.

Kumpulan Al Mourabitoun yang dikaitkan dengan al Qaeda dan berpusat di utara Mali mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu menerusi laman Twitter. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 2:00 AM
ANGGOTA keselamatan Mali menyelamatkan seorang lelaki berhampiran hotel Radisson Blu. FOTO AFP
ANGGOTA keselamatan Mali menyelamatkan seorang lelaki berhampiran hotel Radisson Blu. FOTO AFP