PETIKAN daripada video menunjukkan seorang tebusan diselamatkan. FOTO REUTERS/REUTERS TV
PETIKAN daripada video menunjukkan seorang tebusan diselamatkan. FOTO REUTERS/REUTERS TV

Bamako (Mali): Sekurang-kurangnya tiga orang maut selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang hotel mewah dipenuhi rakyat asing di ibu negara Mali, Bamako pagi tadi (waktu tempatan) dan menawan 170 tebusan.

Bagaimanapun, tidak diketahui identiti kumpulan yang melancarkan serbuan di Hotel Radisson Blu itu, atau sama ada mereka dikaitkan dengan mana-mana organisasi.

Sumber keselamatan itu berkata, kira-kira 10 orang menyerbu bangunan itu pagi tadi (waktu tempatan) dan melepaskan tembakan sambil melaungkan ‘Allahu Akbar.’

Kejadian itu berlaku tepat seminggu selepas Negara Islam (IS) membunuh 129 orang di Paris.

Syarikat pemilik hotel itu, Kumpulan Rezidor berkata, ia difahamkan hanya dua lelaki bersenjata terbabit dalam kejadian itu.

“Maklumat diterima kami mengatakan dua orang menawan 140 pelanggan dan 30 pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga 8 malam (waktu Malaysia) tadi, 80 tebusan sudah dibebaskan, menurut siaran stesen televisyen Mali dan Pasukan Khas sedang menyerbu dan memeriksa setiap tingkat hotel itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 8:21 PM