AFP

Bamako (Mali): Sekurang-kurangnya 13 maut manakala 61 lagi cedera dalam letupan bom kereta di Mali, Afrika Barat, awal pagi semalam.

Suspek dipercayai menyerang kawasan lapangan terbang Sevare di wilayah tengah Mopti.

Kerajaan dalam kenyataan mengesahkan serangan itu mengorbankan 10 orang awam dan tiga tentera serta mencederakan 61 mangsa.

Katanya, letupan itu memusnahkan beberapa rumah berhampiran lapangan terbang, yang menjadi pusat kepada kem tentera Mali.

"Terima kasih kepada Angkatan Bersenjata kami yang berani dan beroperasi secara eksklusif dengan sumber mereka sendiri.

"Penyerang sudah dihalau dan 28 pengganas dihapuskan," kata kenyataan kerajaan.

Sementara itu, pegawai tempatan sebelum ini memberitahu AFP, tentera Senegal daripada misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mali, Minusma terbabit dalam pertempuran itu.

Minusma mengecam serangan itu dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Mali bagi menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, tentera Mali memusnahkan tempat perlindungan pengganas di Mourdiah dan menghapuskan kira-kira 60 pengganas di Boni.

Ia menjadikan 88 pengganas berkaitan serangan dihapuskan di seluruh Mali, setakat ini.

TENTERA Mali ketika kawalan jalan antara Mopti dan Djenne, tengah Mali pada 2020. FOTO Fail AFP.
TENTERA Mali ketika kawalan jalan antara Mopti dan Djenne, tengah Mali pada 2020. FOTO Fail AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 3:41 PM