Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang komuniti setempat Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Kontijen Kelantan di Dewan Kompleks Perpaduan Daerah Machang, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang komuniti setempat Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Kontijen Kelantan di Dewan Kompleks Perpaduan Daerah Machang, di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan persiapan rapi dilakukan bagi menjamin keselamatan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri, 17 Ogos ini.

"Mesyuarat dengan Ketua Jajahan Gua Musang akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan (semua perkara untuk) kelancaran PRK.

"Setakat ini, persiapan sudah mula dibuat susulan pengumuman (PRK) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini," katanya ditemui pada Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, mesyuarat itu nanti akan menentukan jumlah keanggotaan pasukan diperlukan dalam memastikan proses pengundian berjalan lancar.

"Kita sudah bersedia dan pihak kami akan sentiasa memantau termasuk kempen, pergerakan jentera parti nanti," katanya yang percaya kematangan semua pihak dalam berpolitik di Kelantan semakin baik.

Beliau bagaimanapun menasihati golongan muda yang diberi tanggungjawab membantu kempen calon PRK Nenggiri supaya berhati-hati, lebih bertanggungjawab selain tidak membuat sebarang provokasi.

Katanya, pemimpin parti juga perlu bertanggungjawab terhadap anak buah masing-masing agar sentiasa mematuhi peraturan pilihan raya dan undang-undang negara.

"Sepanjang PRK berlangsung, pihak kami akan memberi sokongan bagi mempermudahkan segala urusan dan memastikan tidak akan ada kesulitan yang timbul," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Nenggiri pada 17 Ogos, manakala 3 Ogos untuk penamaan calon dan 13 Ogos untuk pengundian awal.

Kerusi Dun itu diisytiharkan kosong pada 19 Jun lalu selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim hilang keahlian daripada Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 3:27 PM