Mogadishu (Somalia): Sekurang-kurangnya 10 terbunuh selepas beberapa lelaki bersenjata menyerbu dua hotel di bandar ini kelmarin, kata polis.

Jurucakap polis, Mohamed Hussein berkata, beberapa lelaki bersenjata menyerbu hotel Siyad yang bertentangan dengan istana presiden dan hotel Weheliye.

Serangan serentak itu dilakukan ketika umat Islam di negara itu bersiap untuk berbuka puasa.

“Tidak lama selepas serangan, askar Somalia menyerbu hotel berkenaan menyebabkan berlakunya tembak menembak dengan kumpulan bersenjata itu.

“Sekurangnya 10 orang terbunuh termasuk penyerang dan pelanggan hotel berkenaan,” katanya.

Ketua polis Mogadishu, Hassan Ali memberitahu, serangan bermula dengan serangan bom kereta sebelum kumpulan lelaki berkenaan menyerbu masuk ke dalam hotel.

Pengawal keselamatan dan anggota polis berjaya menggagalkan serangan di hotel Weheliye, tetapi serangan di hotel Siyad berlangsung lebih satu jam.

Sebuah kereta yang musnah dilihat berada di depan hotel Siyad dan bangunan hotel itu juga penuh dengan kesan peluru.

Pasukan perubatan dilihat membawa beberapa mangsa yang cedera dan polis terpaksa melepaskan tembakan udara bagi menyuraikan orang ramai yang berkumpul di depan hotel.

Kumpulan pengganas al-Shabab yang sebelum ini berikrar meningkatkan keganasan ketika bulan Ramadan, mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:05 AM