SUSPEK ditahan selepas kereta terbabas lalu merempuh lampu isyarat. FOTO ihsan polis
SUSPEK ditahan selepas kereta terbabas lalu merempuh lampu isyarat. FOTO ihsan polis
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kapar: Lelaki ditahan polis di Persiaran Masjid, Seksyen 9, Shah Alam selepas melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandu dan mengaku mengambil dadah, tengah hari semalam.

Sebelum ditahan, suspek berusia 23 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Lebuh raya Kemuning-Shah Alam (LKSA), di sini, kira-kira 12 tengah hari.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis yang sedang menjalankan rondaan kemudian menghampiri kereta dipandu suspek dan mengarahkannya untuk berhenti.

Beliau berkata, suspek kemudian terus memecut kereta sebelum terbabas lalu merempuh lampu isyarat di Persiaran Masjid dan ditahan polis.

"Siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian disebabkan bimbang ditahan polis kerana tidak memiliki lesen memandu selain mengaku mengambil dadah dua hari lalu.

"Polis menyiasat kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan seterusnya," katanya ketika ditemui dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Klang Utara, di Balai Polis Kapar, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 5:22 PM