POLIS membuat sekatan jalan raya di sekitar Dataran Shah Alam.
POLIS membuat sekatan jalan raya di sekitar Dataran Shah Alam.
Norrasyidah Arshad


Shah Alam: Sebanyak 109 motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan di sekitar Dataran Shah Alam di sini disita polis dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, sebahagian motosikal yang disita itu ditahan ketika sedang berlumba.

Beliau berkata, sepanjang operasi yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, pihaknya turut mengeluarkan 283 saman.

“Dalam operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam tadi (malam kelmarin), 417 individu yang berada di Dataran Shah Alam selain 362 kenderaan iaitu 347 motosikal dan 15 kereta diperiksa.

“Kita mengesan pelbagai kesalahan dengan kesalahan terbanyak adalah tidak mempunyai lesen diikuti kesalahan nombor pendaftaran dan cukai jalan,” katanya.

Shafien berkata, pihaknya turut memeriksa kenderaan milik penonton yang menyaksikan lumba haram terbabit bermula dari Dataran Shah Alam hingga ke Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

Katanya, antara kesalahan lain yang dikesan membabitkan kesalahan topi keledar, cermin sisi, ekzos bising dan lesen tamat tempoh.

“Kita turut menyita sebuah kereta kerana pemandunya tidak memiliki lesen.

“Semua kenderaan yang disita dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 9:16 AM