KEADAAN kemalangan membabitkan pacuan empat roda dan dua motosikal.
KEADAAN kemalangan membabitkan pacuan empat roda dan dua motosikal.

Kapar: Dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh pacuan empat roda yang hilang kawalan di Persiaran Sungai Serdang, Jalan Kapar, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Mohd Azrie Zakaria, 31, yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit maut di tempat kejadian manakala K Subramaniam, 41, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ketika menerima rawatan kecemasan.

Difahamkan, lelaki berusia 31 tahun yang memandu pacuan empat roda itu melarikan diri dan meninggalkan kenderaan di lokasi kemalangan namun tampil membuat laporan beberapa jam kemudian.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda berkenaan dari Klang menuju ke Kuala Selangor.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan sekali gus merempuh dua motosikal dari arah bertentangan.

“Akibat hentaman itu, mangsa tercampak manakala pacuan empat roda itu terbabas ke dalam parit,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, Mohd Azrie dari Kampung Bukit Kuching, Jeram, Kuala Selangor maut di lokasi kejadian akibat parah di dada dan leher manakala Subramaniam dari Kapar meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAR jam 9.45 malam kelmarin.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca sebenar kejadian dan kami memohon saksi tampil memberikan membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:40 AM