Mohd Yusoff (kanan) bersama pegawainya menunjukkan rangka motosikal curi yang dirampas. FOTO Na’imah Mohamed
Mohd Yusoff (kanan) bersama pegawainya menunjukkan rangka motosikal curi yang dirampas. FOTO Na’imah Mohamed
Na'imah Mohamed

Kapar: Sebanyak 32 kes curi motosikal dan samun di sekitar daerah Klang Utara berjaya diselesaikan selepas polis menahan tiga geng dalam beberapa tangkapan sejak 1 April lalu.

Tiga geng yang dipercayai bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu itu dikenali sebagai Geng Cina Ravi, Geng Botak Sementa dan Geng Sara Kapar.

Dalam tangkapan 1 April lalu, lelaki berusia 52 tahun ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan sedang menunggang motosikal yang dilaporkan dicuri di Sungai Kapar.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, seramai lapan suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun dari tiga geng berkenaan ditahan pada 1 April, 2 April dan 6 April lalu.

"Semua suspek mempunyai sekurang-kurangnya satu rekod jenayah lampau, antaranya membabitkan kes dadah, curi motosikal, samun dan juga pecah rumah.

"Suspek juga didapati positif dadah dan kita percaya ada di antara mereka ini sudah bergiat aktif di sekitar Klang Utara dan Klang Selatan sejak lima tahun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 6:36 PM