CONTI (kiri) bersama Ayelen selesa menetap di Pahang.
CONTI (kiri) bersama Ayelen selesa menetap di Pahang.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: “Saya gembira dapat terus beraksi dengan Pahang musim depan. Janji saya hanya satu, memberi persembahan terbaik,” kata penyerang berasal dari Argentina, Matias Conti.

Selepas dua musim bersama skuad Tok Gajah, dia begitu selesa dan akan terus bersama pasukan itu selagi khidmatnya diperlukan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Katanya, kejayaan menjulang Piala Malaysia dua musim berturut-turut hadiah paling bermakna kepada pasukan dan pihak pengurusan yang sentiasa menyokongnya.

Conti berkata, keputusan Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengekalkan semua pemain musim ini langkah tepat dalam usaha membentuk pasukan yang mantap.

“Saya selesa dan serasi dapat bergandingan dengan Dickson Nwakaeme di bahagian serangan. Walaupun baru semusim beraksi bersama, kami dapat membentuk persefahaman yang baik.

“Saya harap Dickson akan terus bersama Pahang musim depan dalam usaha memastikan skuad Tok Gajah terus mantap seterusnya menjulang lebih banyak kejuaraan,” katanya.

Pada masa sama, dia turut selesa menetap di Pahang bersama tunangnya, Ayelen Beynoso yang menganggap keamanan dan keramahan masyarakat di negeri itu hampir sama dengan penduduk di Argentina.

Menurutnya, Pahang kendalian jurulatih Zainal Abidin Hassan juga semakin mantap berbanding musim lalu dan terbukti apabila berjaya menjulang tiga kejuaraan iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Saya harap kejayaan cemerlang musim ini dapat diteruskan musim depan. Saya begitu teringin menjulang trofi Liga Super yang menjadi buruan semua pasukan dalam Liga Malaysia,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:07 AM