CONTI  (kiri) menjaringkan gol pertama Pahang ketika menentang Kedah  pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia.
CONTI (kiri) menjaringkan gol pertama Pahang ketika menentang Kedah pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia.
 ZAINAL  diangkat oleh peminat selepas pasukannya layak ke perlawanan akhir.
ZAINAL diangkat oleh peminat selepas pasukannya layak ke perlawanan akhir.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Kuantan: Juara bertahan, Pahang mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia 2014 apabila menewaskan Kedah dengan agregat 6-3 pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu kenduri gol ke atas Kedah dengan kemenangan 5-0 selepas kekalahan mengejutkan 1-3 pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, Ahad lalu.

Wira Tok Gajah semestinya Matias Conti dan R Gopinathan. Conti mencatat hatrik manakala Gopinathan menjaringkan dua gol.

Bermain di depan lebih 37,000 penyokong, Pahang memulakan permainan dengan aksi meyakinkan apabila melakukan serangan bertali arus ke gawang lawan.

Usaha tuan rumah membuahkan hasil seawal minit keempat hasil tandukan kemas Matias Conti yang menyempurnakan sepakan penjuru Azidan Sarudin.

Pahang menjarakkan kedudukan pada minit ke-25 menerusi jaringan R Gopinathan yang menolak masuk hantaran lintang pemain sayap, Azammuddin Mohd Akil.

Skuad Helang Merah cuba bangkit, tetapi sekali lagi dikecewakan apabila gawang mereka dibolosi menerusi jaringan Conti yang menolak masuk hantaran Azamuddin, empat minit kemudian.

Conti melengkapkan hatrik pada minit ke-36 hasil rembatan kencang Dickson Nwakaeme yang bijak menggunakan keupayaan fizikalnya untuk mengawal bola dalam kotak penalti melepasi pertahanan Kedah melepasi penjaga gol Kedah, Saiful Amar Sudar.

Tonggak pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar cuba melakukan beberapa rembatan jarak jauh untuk mencipta jaringan tetapi usahanya gagal menguji kemampuan sebenar penjaga gol Pahang Md Khairul Azhan Md Khalid.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan bekas penolong jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe cuba melakukan beberapa percubaan bagi merapatkan kedudukan menerusi Mohd Khyril Muhymeen Zambri, tetapi berjaya diselamatkan Khairul.

Benteng Kedah selaku juara trebel musim 2007/08 dibolosi buat kali kelima menerusi jaringan kedua Gopinathan pada minit ke-73.

Kedah terus buntu untuk menghasilkan jaringan dan kedudukan 5-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pahang akan bertemu sama ada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) atau FELDA United FC pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 1 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:06 AM