Nor Azamin (dua kiri) bertukar dokumen dengan Pengarah Hastings, Robert Campbell.
Nor Azamin (dua kiri) bertukar dokumen dengan Pengarah Hastings, Robert Campbell.

Kuala Lumpur: Maybank Asset Management Group Bhd (Maybank AM) menjalin kerjasama dengan pengurus dana infrastruktur global, Hastings Management Pty Ltd (Hastings) untuk menyediakan Dana Infrastruktur Islam bagi menerokai peluang pelaburan infrastruktur di Asean.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Nor Azamin Salleh berkata, pelabur akan mendapat manfaat akses kepada peluang pelaburan infrastruktur dan pasaran di ekonomi Asean, India dan China melalui penggunaan dana terkumpul.

“Dana tertutup pertama ini membabitkan peruntukan AS$250 juta menjelang awal tahun depan diikuti pameran bergerak global bersama Hastings pada suku pertama 2016,” katanya pada sidang media bersempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) 2015, di sini, semalam.

Dana Infrastruktur Islam itu adalah dana pertama seumpamanya di Asean yang bakal dilancarkan pada suku kedua tahun depan seterusnya memulakan pelaburan bersama Hastings.

Beliau berkata, dana kedua bersaiz sehingga AS$1 bilion akan dilancarkan sebaik sahaja dana pertama menunjukkan rekod pencapaian baik.

“Kami percaya kekuatan dan kestabilan kami sebagai institut kewangan, keupayaan serantau, pasukan pengurusan portfolio berpengalaman dan dedikasi membolehkan kami mempelbagaikan portfolio dengan Hastings,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 7:07 AM