NOR’ Azamin  (kanan) bersama (dari kiri) Naib Presiden Eksekutif Ketua, High Networth & Affluent Banking, Community Financial Services MAYBANK Eunice Chan Chun Hei, Pengerusi MAYBANK Islamic Asset Management Datuk Azian Mohd Noh, Ketua Pegawai Eksekutif & Ketua Portfolio Strategi Bosera Asset Management (International) Co Ltd, Conrad Cheng dan Ketua Perbankan Global Kumpulan Amirul Feisal Wan Zahir pada majlis perasmian MAYBANK Bosera Greater China ASEAN Equity-i Fund.
NOR’ Azamin (kanan) bersama (dari kiri) Naib Presiden Eksekutif Ketua, High Networth & Affluent Banking, Community Financial Services MAYBANK Eunice Chan Chun Hei, Pengerusi MAYBANK Islamic Asset Management Datuk Azian Mohd Noh, Ketua Pegawai Eksekutif & Ketua Portfolio Strategi Bosera Asset Management (International) Co Ltd, Conrad Cheng dan Ketua Perbankan Global Kumpulan Amirul Feisal Wan Zahir pada majlis perasmian MAYBANK Bosera Greater China ASEAN Equity-i Fund.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Maybank Asset Management (MAYBANK AM) komited mencapai pertumbuhan modal antara RM70 hingga RM100 juta bagi Malaysia menerusi pelancaran dana ekuiti Islam pertama di ASEAN yang dikenali sebagai Maybank Bosera Greater China ASEAN Equity-i Fund.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor’Azamin Salleh berkata, dana terbabit bertujuan meraih potensi besar dalam pasaran ekuiti di Wilayah Besar China dan ASEAN.

Katanya, pulangan dana itu disasarkan antara 7 hingga 12 peratus setahun atas asas pusingan pelaburan selama tiga tahun dan dana ekuiti berlandaskan syariah bermatlamat mencapai pertumbuhan modal.

“Dana ini adalah pertama yang diperkenalkan di bawah skim pasport ASEAN dan diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada Mac 2015 dan ia membolehkan pelabur mendapat peluang meraih potensi yang ditawarkan oleh ekuiti Islam di Wilayah Besar China dan ASEAN.

“Kami akan mengekalkan peruntukan nilai aset bersih (NAV) dana ini sebanyak 35 peratus setiap satu di pasaran ekuiti Wilayah Besar China dan ASEAN, antara 2.0 hingga 30 peratus NAV akan dilabur dalam aset mudah tunai Islam termasuk instrumen pasaran wang Islam,” katanya pada majlis pelancaran MAYBANK Bosera Greater China ASEAN Equity-i Fund di sini, semalam.

Menurutnya, aspirasi syarikat untuk menjadi pengurus dana global dengan menawarkan penyelesaian pelaburan berlandaskan syariah dan kerjasama strategik dengan Bosera mmbolehkan pihaknya memanfaatkan kepakaran dan kehadiran kukuh kedua-dua pihak di negara yang memiliki ramai pelabur berpotensi.

Nor’Azamin berkata, semakin hari semakin ramai pelabur yang mahukan pelaburan yang mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat dan dana ini amat menarik kerana ia tidak dilabur dalam ekuiti berkaitan perjudian, riba dan aktiviti tidak halal.

Dana dagangan terbuka ini menawarkan peluang pelaburan dalam tiga kelas berbeza iaitu Kelas A, B dan C. Kelas A dalam mata wang ringgit yang ditawarkan kepada pelabur runcit, manakala kelas B dalam dolar Amerika (AS$) yang juga kepada pelabur runcit dan kelas C dalam AS$ ditawarkan hanya kepada pelabur institusi.

Pelaburan awal minimum kepada pelabur runcit adalah sebanyak RM1,000 atau AS$1,000, manakala pelaburan tambahan boleh dibuat dalam gandaan RM100 dan AS$100 bergantung kepada kelas yang dipilih.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM20 bilion tahun berbanding RM15.2 bilion sekarang. Dana ini akan menokok kepada portfolio pelaburan berlandaskan syariah MAYBANK AM yang berjumlah RM6.6 bilion sehingga 31 Mac 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 7:58 AM