Najib bersama pemimpin negara anggota WIEF di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Najib bersama pemimpin negara anggota WIEF di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Negara Islam perlu memanfaatkan sepenuhnya hubungan baik yang dijalin bagi meningkatkan lagi perniagaan, ekonomi, pelaburan serta perdagangan antara satu sama lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, usaha untuk meningkatkan jaringan hubungan baik dalam bidang perniagaan dalam kalangan negara Islam menjadi agenda utama berbanding memperkenalkan mata wang tunggal antara negara terbabit.

“Idea berkenaan (pengenalan mata wang tunggal) mungkin tidak berlaku dan saya tidak fikir kita perlu mencuba ke arah itu,” katanya pada sidang media sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam dan Setiausaha Agungnya, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Menurut Najib, konsep kewangan Islam kini semakin mendapat perhatian dan diterima baik masyarakat bukan Islam.

Kata beliau, keadaan itu jelas membuktikan konsep kewangan berkenaan mempunyai kelebihan tersendiri berbanding sistem kewangan konvensional sedia ada.

“Kita teruja dengan perkembangan ini kerana Malaysia adalah negara peneraju kepada konsep kewangan Islam di seluruh dunia, selain turut memperkenalkan sukuk.

“Kita juga menawarkan banyak pilihan produk berasaskan syariah dan ia adalah sumbangan Malaysia kepada ekonomi dunia,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penubuhan bank Islam mega, Najib berkata, sehingga kini rancangan itu masih belum diputuskan.

WIEF ke-11 yang bermula semalam hingga 5 November dijangka menerima kehadiran 3,176 delegasi peserta termasuk pemimpin global dari 98 negara membabitkan lima benua.

Bertemakan Membina Ketahanan bagi Pertumbuhan Saksama, forum itu memberi tumpuan untuk meneruskan matlamatnya memudahkan pembangunan ekonomi ke arah pertumbuhan mampan dan saksama antara negara Islam serta bukan Islam.

Pada majlis sama, Najib turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDBG).

Kedua-dua pihak bakal bekerjasama dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi berdasarkan Maqasid Shari’ah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 5:53 AM