Che Ghazali maklumkan kejayaan rampas 232 gram dadah heroin bernilai RM9,200 di Pusat Dagangan Kelana Mas,semalam. FOTO ihsan PDRM
Che Ghazali maklumkan kejayaan rampas 232 gram dadah heroin bernilai RM9,200 di Pusat Dagangan Kelana Mas,semalam. FOTO ihsan PDRM
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Polis menahan seorang lelaki serta wanita warga Myanmar berusia 28 dan 44 tahun sebelum merampas 232 gram dadah heroin bernilai RM9,200 di Pusat Dagangan Kelana Mas, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira11 pagi, kedua-dua sahabat berkenaan dipercayai baru mengambil dadah terbabit yang dihantar menggunakan khidmat sebuah syarikat penghantaran cepat.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi diketuai Inspektor Shaharudin Shah mengesan seorang lelaki membawa sebuah kotak bersama seorang wanita dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik menyedari kehadiran anggota polis, lelaki itu mencampak kotak mi segera yang dibawanya ke tepi jalan sebelum ditahan untuk siasatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Che Ghazali berkata, siasatan lanjut mendapati kotak itu mengandungi empat paket plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 232 gram bernilai RM9,200.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 11:28 AM