ANTARA dadah yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
ANTARA dadah yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menahan enam tokan dadah warga Thailand yang menjadikan rumah atas air sebagai markas pengedaran dadah di Kampung Bukit Malut di sini, malam tadi.

Dalam serbuan 12.45 tengah malam itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Cawangan Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata, polis turut menemui dan merampas dadah jenis heroin seberat 16 gram (g), syabu (0.10g), cecair ketum (1.5 liter) dan daun ketum (50 g).

"Siasatan awal mendapati dadah yang dirampas itu adalah untuk kegunaan sendiri kesemua suspek, selain untuk tujuan edaran secara gelap di sekitar Langkawi.

"Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1,000 pada harga semasa dan boleh menampung 80 penagih di daerah ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Che Ghazali berkata, kesemua suspek terbabit kini ditahan di IPD Langkawi dan kes disiasat bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Pada operasi sama, katanya, polis turut menahan enam individu lain yang disyaki penagih dadah di kawasan perkampungan sama untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 3:12 PM