Langkawi: Sepasang kekasih yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah jenis heroin dan syabu, diberkas dalam satu serbuan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang berkata lelaki berumur 30 tahun dan pasangannya berumur 19 tahun ditahan sepasukan polis diketuai Inspektor Shaharuddin Shah dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kuala Temoyong di sini, pada jam 1.15 pagi.

Polis juga, katanya, menemui kira-kira 430 gram heroin dan 50.5 gram syabu yang disimpan suspek dalam beg plastik hitam dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Che Ghazali berkata polis turut menemui wang tunai berjumlah RM830 dipercayai hasil jualan dadah dan satu buku Agensi Anti-Dadah Kebangsaan Daerah Langkawi (Orang Kena Pengawasan) milik suspek lelaki itu.

"Heroin dan syabu yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan untuk kira-kira 5,000 penagih," katanya.

Che Ghazali berkata siasatan polis setakat ini mendapati kedua-dua suspek terbabit dalam aktiviti pengedaran di Langkawi sejak enam bulan lalu dan ujian pengesanan dadah turut mendapati kedua-duanya positif.

Katanya kesemua dadah yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari pembekal dari luar Langkawi dan cuba dibekalkan kepada penagih di kawasan Kedawang di sini.

Menurutnya polis telah memperoleh perintah reman tujuh hari terhadap kedua-dua suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988 bagi mengesan harta suspek yang

diperolehi melalui hasil dadah. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 4:35 PM