GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah menerusi penahanan seorang penganggur yang sedang menunggang motosikal sambil membawa dadah disyaki heroin seberat lebih 9 kilogram (kg) di kawasan sekitar perumahan Taman Pengkalan Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata heroin dianggarkan seberat 9,200 gram (g) dengan nilai dianggarkan RM115,000 itu ditemukan berada dalam beg galas berzip yang diletakkan dalam raga hadapan motosikal yang dinaiki suspek lelaki berumur 47 tahun itu.

Menurutnya, penahanan suspek dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, aktiviti pengedaran dadah yang disyaki untuk edaran di pasaran tempatan negeri Perak itu juga dipercayai mula aktif tidak sampai setengah bulan iaitu sejak awal bulan ini atau Mei 2024.

"Hasil pemeriksaan, pihak polis menjumpai beg

galas berzip yang di dalamnya terdapat 20 bungkusan plastik lutsinar dadah dipercayai jenis heroin dengan anggaran berat 9,200 g yang dianggarkan bernilai RM115,000 yang berada dalam raga hadapan

motosikal yang dinaiki.

"Semasa tangkapan dilakukan, suspek sedang berhenti di kawasan parkir. Ketika ditahan, dadah itu sedang dibawa dari sekitar bandaraya Ipoh ini ke kawasan Pengkalan Jaya untuk tujuan pengedaran," katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurutnya lagi, justeru suspek bukan diupah membawa dadah namun sebaliknya merupan salah seorang ahli sindiket pengedaran dadah yang aktif, dengan anggaran jumlah dadah yang dirampas itu boleh menampung keperluan seramai 12,000 penagih dadah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain semakan turut mendapati dia mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 19 Mei ini (Ahad) bagi membantu siasatan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 7:33 PM